Isnin, 4 Januari 2010

Sedar , Bangkit dan tentang keputusan benarkan gereja guna nama Allah!!!!



Petikan ini saya petik dari blog Tun ....interesting too :-

Tahun 2010 dimulakan dengan cara yang menyedihkan di Malaysia, apabila Mahkamah Tinggi semalam, memutuskan agar majalah Gereja Katolik, Herald dibenarkan untuk menggunakan nama Allah.

Biarpun Islam merupakan agama rasmi negara seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, namun kedudukan istimewa ini nampaknya tidak membantu untuk memelihara aqidah umat Islam dari dipesongkan dan umat Islam Malaysia dari dikelirukan oleh golongan bukan Islam.
Allah SWT telah memberikan amaran tentang perkara ini di dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud "orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang terhadap kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka.

Katakanlah, sesungguhnya Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguh jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak akan menjadi pelindung dan penolong bagimu."

Rasulullah saw juga ada memberikan amaran kepada umat Islam tentang perkara ini. Sebuah hadis yang disampaikan oleh Abu Sai'd Al-Khudri r.a dan disepakati oleh semua perawi hadis menyebut, Rasulullah SAW bersabda, "Sungguh-sungguh kamu akan mengikuti tradisi orang-orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang dhob, nescaya kamu akan meniru dan mencontohi mereka. Kami pun bertanya, "apakah (yang kamu maksudkan adalah) Yahudi dan Nasrani? Beliau menjawab siapa lagi?"

Malangnya walaupun amaran ini telah diberi dan firman Allah swt dengan jelas menyebut `setelah pengetahuan datang kepada kamu', kita masih tidak menyedarinya dan ada pula yang sengaja menipu diri kita demi kepentingan dunia yang tidak kekal.

Faisal Tehrani dalam tulisannya bertajuk `Allah', mempertikaikan bahawa `Allah' digunakan di dalam kitab `Bible'. Malah hujah beliau, ia digunakan sebagai salah satu program indigenisasi Kristian bagi menarik golongan pribumi.

Abu Zulfikar di dalam tulisannya `Isu Penggunaan nama Allah oleh bukan Islam' pula menjelaskan bahawa penentangan penggunaan nama Allah apabila ia dinisbahkan kepada Roh Kudus, Jesus dan sebagainya. Beliau juga dengan meyakinkan menolak hujah yang membolehkan penggunaan nama Allah oleh gereja ini melalui tulisannya 'Menjawab Dr Asri - Isu Allah' dan berdebat dengan golongan Kristian dengan hujah yang menyakinkan di sini.
Hari ini kita mempunyai dua pilihan. Pertama, kita boleh duduk sahaja, mengeluh dan membiarkan sahaja keputusan ini yang akan membuka ruang dan menjadi contoh serta rujukan kepada pelbagai tuntutan oleh Gereja Katolik dan pihak-pihak lain di masa hadapan.
Kedua, kita boleh bangkit dan menentang keputusan ini atas dasar tanggung jawab generasi hari ini untuk berusaha melindungi aqidah generasi akan datang dan agar mereka tidak dikelirukan, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara Islam bernama Malaysia.

Ini bukan soal ketidak terbukaan, tetapi soal pemeliharaan aqidah umat Islam dan kemungkinan kewujudan agenda tersembunyi oleh pihak gereja Katolik. Ini juga soal sensitiviti atau kepekaan. Jika hari ini sebagai umat Islam, kita boleh membiarkan perkara yang boleh menggugat aqidah dilaksanakan atas dasar freedom of speech and expression, mungkin pada masa hadapan kita mungkin membenarkan anak-anak kita berbogel kerana kita sendiri suka melihat gambar bogel dan bagi yang berbogel, atas alasan bahawa mereka amat menghargai kecantikan tubuh badan mereka dan tiada salahnya untuk orang lain menghargainya bersama-sama.

Bagi yang menganggap diri mereka liberal, mungkin mereka boleh membaca artikel `Kerajaan Allah, Gereja dan pelayanan' dan `Israel, gereja dan kitab wahyu' sebagai antara ribuan contoh item yang boleh mengelirukan umat Islam dan aqidah generasi masa hadapan.
Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam penghakimannya menyebut bahawa Kementerian gagal untuk mengadakan bukti bahawa penggunaan ayat itu boleh mengancam keselamatan negara dan boleh mendatangkan salah faham dan kekeliruan di kalangan umat Islam.
Kita kesal kerana pihak yang diberi tanggung jawab untuk mempertahankan keputusan Menteri Dalam Negeri gagal melaksanakan tanggung jawab mereka dengan baik. Kita mahu mereka memfailkan rayuan dengan SEGERA dan memastikan mereka dapat meyakinkan Hakim Mahkamah Rayuan selepas ini.

Kepada pihak yang berkaitan, walaupun di dalam mahkamah mungkin pihak defendan gagal membuktikan ancaman terhadap keselamatan negara, tetapi itu tidak bermaksud ia tidak wujud dan kemungkinan itu tidak akan berlaku.

Bagi menunjukkan solidariti, keprihatinan dan kepekaan kita terhadap isu-isu yang akan menjejaskan agama Islam dan penganutnya, saya ingin menyeru agar kita bersama-sama hadir ke Masjid Wilayah hari ini untuk solat Jumaat dan menunjukkan bantahan kita terhadap keputusan ini.

Jika di Switzerland, masjid dilarang membangunkan menara masjid/minarets dan Perancis boleh mengharamkan pemakaian tudung di dalam era hak asasi dunia masa kini kononnya, kita tidak faham mengapa di Malaysia, di mana Islam merupakan agama rasminya, penggunaan nama Allah oleh gereja boleh dibenarkan pula?!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan